Sunday, 25, January, 2026
Utama NasionalAnwar saran projek ladang babi Bukit Tagar dihentikan sementara

Anwar saran projek ladang babi Bukit Tagar dihentikan sementara

oleh Ammar Haziq

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar projek penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor, dibatalkan terlebih dahulu serta dipertimbangkan untuk dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai.


Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta pimpinan kerajaan negeri dengan mengambil kira pandangan rakyat dan teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung isu berkenaan.


“Kalau boleh, projek dicadangkan ini dibatalkan terlebih dahulu dan dipertimbangkan lokasi lain yang lebih sesuai… dengan syarat teknologi yang digunakan benar-benar terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin Seksyen 8, di sini.


Menurut Anwar, isu tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri walaupun ia berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor.


Beliau menegaskan bahawa faktor lokasi sama penting dengan penggunaan teknologi moden dalam pelaksanaan projek berkenaan.


“Walaupun teknologi itu terbaik, tapi di kawasan yang menimbulkan keresahan itu juga tidak wajar diteruskan,” katanya.


Anwar berkata antara cadangan yang dikemukakan ialah meneruskan projek di lokasi sama tertakluk kepada penggunaan teknologi lebih baik serta pematuhan syarat yang ketat.


Tambahnya, sektor penternakan ayam dan khinzir sebelum ini sering dikaitkan dengan isu pencemaran serius, termasuk kejadian yang berlaku di Morib.


“Kita tidak boleh pandang ringan dan menganggap perkara ini boleh diselesaikan dengan mudah,” katanya lagi.


Sebelum ini, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi menggantikan Bukit Tagar sebagai tapak baharu pemindahan ladang ternakan babi berpusat di Selangor.
Pada 17 Januari lalu, sebanyak 37 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam membantah sekeras-kerasnya projek pembinaan ladang penternakan babi di kawasan Bukit Tagar.

Artikel Berkaitan