ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah menyasarkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Kuah, Bukit Kayu Hitam dan Bandar Baharu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusinya, Asmirul Anuar Aris berkata, ketetapan itu diputuskan dalam Program Retreat Jentera Pilihan Raya AMANAH Kedah yang berlangsung pada 23 hingga 24 Januari lalu di Pantai Merdeka.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan bersama Biro Politik AMANAH Kedah serta ketua-ketua kawasan selepas mengambil kira perkembangan semasa landskap politik negeri.
“AMANAH Kedah mengambil maklum pendirian politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kedah yang cenderung bertanding secara solo pada PRU16 dan menghormati keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berkata, AMANAH Kedah telah mula mengenal pasti kerusi-kerusi berpotensi di peringkat DUN dan Parlimen sebagai persiapan awal menghadapi PRU16.
Dalam pada itu, AMANAH Kedah turut menyokong cadangan Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional untuk bertanding di kerusi Parlimen Pokok Sena dan Jerai, selain mengemukakan cadangan beberapa kerusi Parlimen lain.
Asmirul menjelaskan, semua AMANAH Kawasan di Kedah diarahkan supaya segera menubuhkan dan mengaktifkan Jentera Operasi Pilihan Raya (JOP) di peringkat Parlimen dan DUN masing-masing, termasuk memberi tumpuan kepada penubuhan jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Langkah ini penting bagi memastikan kesiapsiagaan jentera parti lebih awal, namun pelaksanaan gerak kerja akan mengambil kira keperluan semasa termasuk menghormati musim peperiksaan yang sedang berlangsung,” katanya.
Menurut beliau, AMANAH Kedah juga akan mengadakan rundingan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menentukan agihan kerusi supaya tidak berlaku pertindihan antara parti komponen.
Tambahnya, AMANAH Kedah komited untuk memberi sokongan padu dan bekerjasama membantu calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi oleh rakan koalisi itu pada PRU16 nanti.