Tuesday, 27, January, 2026
Utama NasionalPM persoal bagaimana e-waste boleh ‘terlepas’ masuk ke negara ini

PM persoal bagaimana e-waste boleh ‘terlepas’ masuk ke negara ini

oleh Ammar Haziq

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan bagaimana sisa elektronik (e-waste) boleh ‘terlepas’ masuk ke negara ini sedangkan pendirian kerajaan adalah tegas melarang Malaysia dijadikan lokasi pembuangan sisa berbahaya itu.


Beliau berkata kerajaan memberi laluan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara berkenaan, termasuk aspek kelemahan tatakelola dan penguatkuasaan.


“Saya tidak faham mengapa boleh dimasukkan, kerana pandangan dan ketetapan kita melarang sama sekali Malaysia menjadi tempat pembuangan e-waste. Hal ini harus dipantau dan saya beri laluan penuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin Seksyen 8, di sini.


Terdahulu, media melaporkan SPRM memberi tumpuan kepada siasatan melibatkan kelemahan tadbir urus dalam pengurusan sisa elektronik di Selangor dan Negeri Sembilan susulan pelaksanaan Op Nature pada Selasa.


Pada 21 Januari lalu, SPRM mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.


Sementara itu, Anwar mengakui masih terdapat kelemahan dalam pengurusan kontrak dan tender yang membuka ruang kepada amalan rasuah serta salah guna kuasa.


“Walau begitu kuat kita beri tekanan dan gesaan, tapi kita lihat masih ada kelemahan dan ketelanjuran,” katanya.


Beliau turut memaklumkan akan mendapatkan laporan daripada Ketua Audit Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia dan SPRM berhubung isu berkenaan.


“Mereka harus teruskan tugas membersihkan saki baki kerenah rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan