Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional PM hargai pengorbanan warga Perbendaharaan siapkan Belanjawan 2024

PM hargai pengorbanan warga Perbendaharaan siapkan Belanjawan 2024

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan penghargaan terhadap warga Perbendaharaan yang disifatkan beliau sebagai luar biasa kerana sedia berkorban dan bertungkus lumus menyiapkan laporan ekonomi, fiskal dan Belanjawan 2024.

“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada jentera Perbendaharaan ini, luar biasa kerja dengan tekun.

“Ada yang tidak balik rumah, ayah sakit pun tangguh sekejap, hari lahir anak pun tak dapat diadakan acara. Jadi itu tahap pengorbanan staf untuk siapkan laporan ekonomi, fiskal dan belanjawan.

“Jadi, tidak akan ada kekuatan itu, pencapaian itu tanpa kerjasama seluruh keluarga Perbendaharaan termasuk pasukan keselamatan,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan kepada media selepas meninjau persiapan akhir Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan (MoF), di sini.

Anwar tiba di MoF pada kira-kira 12.50 tengah hari dan disambut oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, dua Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Perdana Menteri kemudian bergambar bersama-sama warga kerja MoF yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2024 sebelum menandatangani dokumen berkaitan Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen esok.

Sementara itu, ditanya sama ada Belanjawan 2024 bakal menggembirakan rakyat, beliau berkata: “Ini tanggungjawab bersama.”

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan akan terus mendapat peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2024.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com