Saturday, 18, May, 2024
Utama Ekonomi Penjualan aset KidZania Singapura bukan penjualan saham Khazanah

Penjualan aset KidZania Singapura bukan penjualan saham Khazanah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan penjualan aset KidZania Singapura kepada Sim Leisure Group (SLG) bukan transaksi penjualan saham oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau anak syarikatnya, Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH).

Beliau berkata, SLG membeli semua aset tidak alih dan aset yang dilupus daripada pelikuidasi yang dilantik oleh DRH atas harga bidaan SGD110,000 (RM380,000) yang ditentukan oleh pelikuidasi tersebut.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pembelian itu turut membabitkan lesen francais dengan KidZania Mexico dan rundingan penyewaan bangunan dengan pihak Singapore Development Corporation (SDC) tanpa membabitkan pihak DRH.

“Pada awal 2020, Rakan Riang Pte Limited (RRPL) membuat satu kajian pasaran untuk mengenal pasti minat pelabur untuk membeli saham RRPL dan mengambil alih KidZania Singapura, tetapi usaha ini tidak berjaya apabila pandemik COVID-19 melanda negara dan industri pelancongan telah terjejas secara langsung,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Pang Hok Liong [PH-Labis] yang meminta kerajaan menjelaskan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang menyebabkan kerugian berjumlah RM200 juta.

Ini susulan penjualan KidZania Singapura kepada pengendali taman tema berpangkalan di Singapura, Sim Leisure Group pada November 2020.

Beliau berkata, DRH mengambil keputusan untuk membubarkan RRPL, menutup operasi KidZania Singapura, menamatkan lesen perjanjian francais KidZania Singapura dengan KidZania Mexico serta menamatkan kontrak perjanjian penyewaan bangunan dengan SDC pada Jun 2020 setelah pelbagai usaha yang dilakukan gagal memulihkan keadaan kewangan KidZania Singapura.

Kidzania Singapura dibuka pada Julai 2016 dan dikendali oleh RRPL iaitu anak syarikat DRH yang merupakan anak syarikat Khazanah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com