RIYADH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap anggota Majlis Keselamatan PBB, terutamanya lima anggota tetap badan dunia itu memainkan peranan mereka sebagai broker keamanan yang jujur dalam mencari penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel.
Ketika membacakan kenyataan semasa Sidang Kemuncak GCC-ASEAN Riyadh, di sini, beliau berkata wujudnya keperluan mendesak untuk mewujudkan koridor kemanusiaan ke Gaza untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang memerlukan.
“Malaysia bersedia untuk menyertai usaha antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bekalan bantuan,” tegas Anwar.
Tambah Anwar, masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi menutup mata terhadap kekejaman itu.
“Kita mesti menamatkan layanan yang tidak seimbang dan hipokrasi yang terang-terangan. Punca konflik mesti ditangani. Tanpa pengecualian, hak asasi manusia mesti dilindungi dan undang-undang antarabangsa mesti ditegakkan,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut menuntut agar tanah, rumah dan harta benda rakyat Palestin dikembalikan, serta dibenarkan hidup dengan aman dan bermaruah di negara berdaulat mereka sendiri di sempadan yang diiktiraf antarabangsa, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.
Sidang kemuncak tersebut yang dihoskan Arab Saudi adalah julung kali diadakan antara ASEAN dengan negara-negara Teluk.
Malaysia merupakan koordinator bagi rantau ASEAN.