Thursday, 2, May, 2024
Utama Nasional Malaysia bukan jadi jaguh isu Palestin tetapi tegas bela umat Islam

Malaysia bukan jadi jaguh isu Palestin tetapi tegas bela umat Islam

oleh Ammar Haziq

RIYADH: Ketegasan Malaysia memperjuangkan isu penduduk Palestin yang berterusan dizalimi Israel bukanlah kerana ia mahu menjadi jaguh sebaliknya dilakukan atas dasar tanggungjawab membela umat Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjuangan itu perlu dilaksanakan kerana penduduk Palestin di Gaza telah ditindas sekian lama sehingga menjangkau lebih tujuh dekad.

“Umat Islam dicabar, diuji…sebab itu kita mesti menunjukkan ketegasan kita,” kata beliau pada Majlis Ramah Mesra Bersama Diaspora Malaysia di Arab Saudi di sini petang ini.

Seramai 300 rakyat Malaysia yang bekerja, belajar dan tinggal di Arab Saudi menghadiri majlis itu yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di sini.

Pada majlis itu, Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah menyambut ketibaan Anwar, yang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Anwar kini dalam lawatan kerja dua hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang berakhir tengah hari tadi.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut berkongsi mengenai ucapannya pada sidang kemuncak ASEAN-GCC di mana beliau menggesa dunia supaya sama-sama bertindak dan “tidak tutup mata” dalam menoktahkan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin.

“Dalam ucapan saya pada sidang kemuncak itu, saya mengucapkan penghargaan kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman kerana Arab Saudi bersama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam mengambil inisiatif dengan negara-negara Islam untuk menyatakan pendirian berhubung konflik ini.

“…ada pendirian jelas…ya, memang masalah Gaza Palestin tidak selesai tetapi ini soal kemanusian. Ia soal prinsip keadilan.

“Ini bukan soal sentimen kaum, agama atau Arab. Ini isu Palestin…isu rampasan hak rakyat, tanah mereka, harta mereka malah maruah mereka telah dirampas,” tegas Anwar.

Perdana Menteri berkata ketika konflik Palestin-Israel tercetus semula baru-baru ini, satu dunia marah dan riuh-rendah tentang keganasan yang berlaku.

“Pada hal, kezaliman (terhadap Palestin) dilakukan setiap hari…rampasan tanah, pembunuhan anak-anak, wanita berlaku, penghinaan berterusan berpuluhan tahun.

“Mana kemanusiaan? Ini yang menyebabkan kita perlu bersuara,” kata Anwar sambil berharap langkah kecil Malaysia dalam isu itu boleh membantu mendorong negara-negara lain untuk turut membantu Palestin.

Menurut Anwar, selepas menghadap Putera Mahkota Mohammed esok, beliau akan berlepas ke Istanbul untuk bertemu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan bagi berbincang lanjut isu Palestin dan Gaza sebelum ke Kaherah pula untuk berjumpa Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi.

“Pertemuan dengan El-Sisi bertujuan membincangkan mengenai pembukaan laluan Rafah bagi memudahkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin,” katanya.

Pada majlis ramah mesra itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya mengutamakan soal kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi, membawa pelaburan asing serta mengangkat kesejahteraan rakyat.

Dalam membasmikan kemiskinan, beliau berkata dasar yang dilaksanakan kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar semakin menampakkan hasil apabila jumlah golongan itu berjaya dikurangkan kepada kira-kira 14,000 orang berbanding 120,000 orang pada awal 2022.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com