Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Bot nelayan ditahan, gajikan pekerja warga asing tanpa permit

Bot nelayan ditahan, gajikan pekerja warga asing tanpa permit

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat tunda dalam jarak lebih kurang 8.5 batu nautika dari Barat Tanjung Cincin pada jam lebih kurang 12.30 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, bot nelayan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika anggota penguat kuasa sedang melakukan rondaan rutin Op Aman dan Op Tiris.

Melalui pemeriksaan yang dilakukan, bot nelayan tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru, dan semua kru adalah warganegara Thailand yang kesemua kru berumur antara 30
hingga 53 tahun.

Bot nelayan tempatan itu telah melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk menggajikan pekerja warga asing dan Akta Imigersen 1959/63 iaitu tekong dan kru tidak memiliki permit lawatan kerja sementara

Bot dan kesemua kru ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

Komuniti maritim setempat juga perlu bekerjasama memantau perkara ini dan melaporkan kepada Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999. Kerjasama antara Maritim Malaysia dan komuniti perlu dieratkan demi memastikan perairan Negeri Kedah dan Perlis sentiasa aman dan selamat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com