Friday, 18, October, 2024
Utama Nasional Pembangkang diminta bincang kembali peruntukan dengan TPM – Anwar

Pembangkang diminta bincang kembali peruntukan dengan TPM – Anwar

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Wakil rakyat pembangkang perlu berunding semula dengan Timbalan Perdana Menteri Kedua, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung permohonan peruntukan kawasan mereka.

Perkara itu diulangi kembali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merujuk keluhan mereka konon ada isu kawasan pembangkang dinafikan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Saya minta agar bincang balik (isu permohonan peruntukan) dengan TPM II (Timbalan Perdana Menteri Kedua),” katanya secara ringkas apabila ditanya pemberita mengenai isu berkenaan.

Terdahulu beliau merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dataran Putrajaya, semalam.

Baru-baru ini beberapa Ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) mendakwa kononnya masih tidak menerima sebarang peruntukan sebagai mana yang dijanjikan sebelum itu.

Mereka sebaliknya menyifatkan pihak kerajaan yang seolah-olah tidak berminat dengan sebarang rundingan atau permohonan peruntukan tahunan ditetapkan bagi kawasan pembangkang.

Malah semalam, beberapa Ahli Parlimen blok lawan memberitahu bahawa mereka bakal menghentikan rundingan atau permohonan peruntukan untuk kawasan mereka dengan Fadillah.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahkan berkata, beliau telah bertemu sebanyak dua kali dengan Timbalan Perdana Menteri Kedua itu untuk berbincang mengenai peruntukan.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Anwar dengan tegas berkata; “Tiada (apa-apa rundingan), bincang (balik) dengan Datuk Seri Fadillah,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com