Saturday, 27, April, 2024
Utama Nasional PM Islamkan saudara baharu di New York

PM Islamkan saudara baharu di New York

oleh Ammar Haziq

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengislamkan seorang pemuda selepas menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), New York, Amerika Syarikat (AS).

Anwar berkata, beliau diminta oleh komuniti Islam di sana untuk menyempurnakan proses berkenaan.

“Usai solat Jumaat, saya diminta komuniti Islam di sini untuk menyempurnakan proses lafaz syahadah saudara Andrew Vinals yang berhasrat memeluk agama Islam.

“Saya juga menyampaikan sumbangan Al-Quran kepada pihak ICCNY untuk kegunaan komuniti Islam di sini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.

Menerusi beberapa keping gambar yang dikongsikan beliau, proses lafaz syahadah itu disaksikan jemaah yang hadir.

Anwar muncul sebagai pemimpin asing pertama yang diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat di ICCNY di depan lebih 800 jemaah.

Ahli Parlimen Tambun itu berada di New York untuk menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 dan kehadirannya menjadi detik bersejarah bagi pusat itu, yang merupakan masjid pertama dibuka di bandar raya berkenaan pada 25 September 1995.

Menyentuh mengenai khutbah yang tersebut, Anwar berkata, ia satu penghormatan yang membolehkan beliau berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama sekali gus dapat hidup rukun, damai serta harmoni.

“Umat Islam juga diseru untuk mengukuhkan perpaduan sesama mereka, tonjolkan hikmah serta memperoleh maklumat dan pengetahuan.

“Saya mengambil kesempatan ini juga untuk menjelaskan konsep ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan di Malaysia serta menyentuh ancaman Islamofobia di seluruh dunia yang memerlukan kesepakatan umat untuk menoktahkannya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com