Friday, 22, November, 2024
Utama Ekonomi Enovix Corporation tubuh kemudahan pembuatan volum tinggi pertama di Malaysia

Enovix Corporation tubuh kemudahan pembuatan volum tinggi pertama di Malaysia

oleh Ammar Haziq

SAN FRANCISCO: Enovix Corporation, pembangun terkemuka bagi bateri silikon termaju mengumumkan penubuhan kemudahan pembuatan volum tinggi pertamanya di Malaysia.

Ini seiring strategi pengembangan global syarikat itu yang bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk bateri berprestasi tinggi dalam pelbagai industri.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Enovix dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu akan melabur sejumlah RM5.8 bilion (USD1.2 bilion) dalam tempoh 15 tahun, termasuk barisan pembuatan pertama yang bekerjasama dengan YBS International Berhad.

Pelan pelaburan itu disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan yang diadakan di luar acara Minggu Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023, di San Francisco, Amerika Syarikat yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Harrold Rust.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman.

“Enovix merupakan syarikat bateri silikon yang pertama di dunia dan apa yang penting ialah, baterinya teknologi termaju.

“Kami melihat kepada pelaburan oleh mereka berjumlah RM5.8 bilion pada ketika ini,” kata Tengku Zafrul kepada media Malaysia pasca pertemuan tersebut.

Bateri silikon Enovix terkenal dengan ketumpatan tenaga yang tinggi, yang membolehkan hayat bateri lebih lama dan masa pengecasan yang lebih cepat.

Kemudahan pembuatan volum tinggi di Malaysia itu dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara.

Pelan pelaburan Enovix itu diterima oleh Tengku Zafrul dan Arham, serta wakil kanan MITI dan MIDA.

Kemudahan pembuatan volum tinggi Enovix di Malaysia dijangka mula beroperasi pada 2024.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com