Sunday, 5, May, 2024
Utama Ekonomi Pelabur KRC tarik diri, UMNO Kedah tuntut Kerajaan Negeri mempermudahkan urusan pelaburan

Pelabur KRC tarik diri, UMNO Kedah tuntut Kerajaan Negeri mempermudahkan urusan pelaburan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pembatalan projek bernilai RM3 bilion oleh pelabur Kedah Rubber City (KRC), iaitu Hong Seng Consolidated Bhd (Hong Seng) menimbulkan kegusaran terhadap tahap kemajuan semasa KRC.

Menurut Shaiful, Hong Seng merupakan antara pelabur terawal di KRC yang telah membeli 42.49 hektar tanah yang bernilai sekitar RM45.74 juta pada tahun 2020.

Shaiful menegaskan bahawa UMNO Kedah memandang serius perkembangan ini dan berpendapat kerajaan Negeri Kedah serta Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) harus meneliti rundingan semula mengenai perjanjian awal projek pembinaan kilang pembuatan lateks nitrile butadiene latex (NBL) kononnya bagi meneroka penggunaan alternatif tanah itu.

“Keputusan tentang penggunaan alternatif tanah tersebut haruslah dibuat secara teliti dan telus bagi mengelakkan kerugian bagi pihak KRC dan rakyat negeri Kedah.”

“Secara tidak sedar, kegagalan pelaburan ini akan menyebabkan hilangya lebih daripada 3,000 potensi peluang pekerjaan untuk rakyat negeri Kedah”, tambahnya.

Dalam pada itu, Shaiful juga berkata bahawa UMNO Negeri Kedah sentiasa menyokong sebarang keputusan bagi menarik pelabur di KRC serta melihat KRC yang diasaskan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO Kedah menuntut agar Kerajaan Negeri Kedah terus komited mempermudahkan segala urusan pelaburan di Negeri Kedah.

“UMNO Kedah berpandangan, keputusan yang mengejutkan ini juga berpunca daripada kegagalan dan kelembapan pihak berkuasa tempatan mengurus keperluan tertentu terutamanya perihal pengambil alihan tanah tertentu yang sememangnya menjadi faktor kritikal bagi pembangunan KRC”, ujarnya.

Media melaporkan baru-baru ini bahawa Hong Seng Consolidated Bhd membatalkan projek bernilai RM3 bilion untuk membina kilang pembuatan lateks butadiena nitril (NBL) di Kedah Rubber City (KRC)

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia Securities pada 13 September lalu, syarikat itu berkata, ia telah membuat keputusan strategik untuk menggantung pembangunan kilang NBL memandangkan pelbagai faktor termasuk keperluan projek dan pembiayaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com