Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Tiga nelayan ditahan cuba seludup 6,000 liter diesel

Tiga nelayan ditahan cuba seludup 6,000 liter diesel

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama tiga lelaki warganegara selepas dipercayai cuba menyeludup enam ribu liter minyak diesel di kedudukan 0.6 batu nautika utara Pulau Langgun pada malam Ahad.


Bot nelayan terbabit ditahan pada jam 11 malam ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh Kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing yang dibuat di atas bot yang ditutupi dengan kayu papan lapis.

Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua kotak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi.

Minyak tambahan yang dibawa dianggarkan sebanyak enam ribu liter dengan nilai hampir RM13 ribu.
Justeru itu, ketiga-tiga lelaki warga tempatan yang berusia lingkungan 32 hingga 40 tahun itu ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memilik barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Pihak Maritim Malaysia Maritim Negeri Kedah dan Perlis mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com