Thursday, 16, May, 2024
Utama Negeri AKEPT, UUM perkasa ekosistem pengurusan bakat

AKEPT, UUM perkasa ekosistem pengurusan bakat

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Dalam usaha memperkasakan ekosistem pengurusan bakat berdasarkan kompetensi di semua universiti awam, seramai 38 peserta berjaya melengkapkan Sijil Instrumen Berasaskan Kompetensi : Penilaian Tingkah Laku Kendiri Bersandarkan Peristiwa (CBI BESA), hari ini.

Peserta yang hadir terdiri daripada bakat akademik dan juga pentadbir dari Kohort 1 dan Kohort 2 itu menerima sijil yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Azhan Md. Amir.

Dalam ucapan Mohamad Azhan berkata, dengan tamatnya kursus CBI BESA peringkat kebangsaan ini, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak lagi ketandusan bakat kepimpinan dengan lahirnya 51 peserta dari dua kohort berkenaan.

Menurutnya, dalam konteks ini, elemen bukti peristiwa dijadikan nilai tambah yang mengukuhkan hasil penilaian kompetensi yang dijalankan.

Katanya, bagi mencapai penghasilan dan keberkesanan yang terbaik, silibus program ini diadun dengan penuh iltizam daripada aspirasi dan penambahbaikan yang menjadi pelengkap kepada Program Talent Management for Excellence (TaME), iaitu sebuah program yang diadun dan dilaksanakan berdasarkan kepada amalan terbaik universiti awam untuk dimanfaatkan secara bersama oleh semua pihak yang terlibat.

“Agenda pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan semakin penting kerana negara pada hari ini sedang melalui satu arus perubahan yang besar dalam melahirkan insan yang berkualiti dari segi ilmu, nilai dan keupayaan memimpin.

“Menyahut seruan amanat Menteri Pendidikan Tinggi pada 12 Januari lalu, kita semua harus bersedia menggalas tanggungjawab yang diamanahkan melalui 20 landasan dalam meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara,” katanya pada Program Pensijilan Instrumen Berasaskan Kompetensi: Penilaian Tingkah Laku Kendiri Bersandarkan Peristiwa (CBI BESA) di Dewan Utama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Mohamad Azhan berkata, peserta CBI BESA ini diharapkan dapat memperkemas peranan sedia ada kumpulan pentadbir dalam menguruskan bakat kepimpinan di institusi masing-masing.

Menurutnya, sifat ingin terus belajar perlu dipupuk agar dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan terkini, di samping menambahbaik penampilan agar terus kekal bersaing dalam dunia pada hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, program CBI-BESA anjuran AKEPT dengan kerjasama UUM sebagai universiti awam yang mengkhusus kepada pengurusan telah masuk kohort ketiga di mana ianya telah dimulakan pada tahun 2021.

Menurutnya, kelompok ini akan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada proses mengenal pasti, membangun, menilai dan melahirkan pemimpin yang kompeten di dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

Katanya, beliau berharap agenda CBI-BESA dapat melengkapkan usaha KPT memperkasakan kecemerlangan bakat di bawah Lonjakan 2, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

“Sebagai warga universiti awam perlu ke hadapan dan sentiasa memberi penekanan seimbang antara keperluan universiti, industri, kerajaan, komuniti awam, serta konteks lokal dan persekitaran dalam pembangunan insan supaya sejajar dengan objektif kemakmuran bersama dan kelestarian bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus negara.

“Melalui jalinan perkongsian bijak dan kerjasama strategik di antara AKEPT dan semua UA, diharapkan dapat mewujudkan semangat keserakanan dan selari dengan konsep kita sebagai satu keluarga besar,” katanya.

Wakil peserta Kohort 1, Prof. Dr. Ismie Roha Mohamed Jais berkata, sijil ini merupakan satu tanggungjawab yang besar dan banyak perkara perlu dilakukan untuk kesinambungan kepimpinan.

“Kami bersyukur dengan pemimpin dan pemikir masa lalu yang telah menubuhkan AKEPT kerana banyak yang dilalui bersama.

“Semoga usaha AKEPT dan UUM untuk menyematkan tekad bahawa segala perubahan dan pembaharuan yang dibawa oleh transformasi akan menjadi norma baharu dalam agenda kepimpinan pengajian tinggi,” katanya.

Wakil peserta Kohort 2, Rizadora Muhamad Arsad berkata, kompetensi bukan sesuatu yang konkrit tetapi ia boleh dipertingkatkan lagi.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada semua fasilitator yang memainkan peranan untuk memastikan semua peserta berjaya dalam perjalanan mereka di IPT masing-masing.

Hadir sama, Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Timbalan Pengarah AKEPT, Prof. Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah dan Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com