Friday, 3, May, 2024
Utama Sukan SAM kecewa Pandelela salahkan media

SAM kecewa Pandelela salahkan media

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR- Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) kecewa dengan tindakan atlet terjun negara Datuk Pandelela Rinong yang menyalahkan media sebagai punca kepada kemelut yang sedang melanda dalam kem terjun negara susulan prestasi di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Menerusi hantaran di laman sosial Datuk Pandelela berpendapat, media telah memutar belit kenyataan yang dikeluarkan ketika sesi temuramah selepas pasukan terjun kembali dari Doha.

Presiden SAM, Norismadi Abd. Manap menegaskan, media sukan adalah profesional dalam menjalankan tugas dan menyampaikan laporan sama ada cetak, elektronik mahupun portal dalam talian.

“Laporan dibuat berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan dan segala sesi direkodkan sebagai rujukan dalam penulisan. Justeru, adalah tidak adil untuk menunding jari terhadap media secara melulu.

“Media tidak pernah menafikan sumbangan yang telah diberikan oleh Datuk Pandelela namun untuk menyalahkan media adalah tindakan yang tidak wajar,” kata Norismadi.

Pihak SAM sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak dalam arena sukan Malaysia jika ada salah faham yang memerlukan penjelasan bagi mengelakkan kekeruhan berpanjangan.

“Penggunaan media sosial sebagai platform untuk meluahkan pandangan atau kekecewaan tanpa berbincang atau mendapatkan penjelasan daripada pihak media terbabit mahupun SAM adalah tidak menggambarkan diri anda sebagai atlet profesional.” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com