Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri KPDN Kedah rampas 100,000 unit kopi pra campuran palsu

KPDN Kedah rampas 100,000 unit kopi pra campuran palsu

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR –  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu sebuah kilang pemprosesan minuman dan sebuah stor penyimpanan di Kawasan Perusahaan Mergong 2, di sini, kerana menggunakan cap dagangan disyaki palsu pada Isnin.

Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan tersebut dilakukan pada jam 10 pagi bersama wakil pemilik cap dagangan susulan aduan daripada aduanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kedua-dua premis ini telah menemui sejumlah unit kopi pra campuran yang menggunakan cap dagangan berdaftar yang disyaki palsu.

“Pegawai serbuan KPDN Kedah bertindak menyita 100,000 unit bungkusan kopi pra campuran dan satu gulung plastik pembungkusan yang menggunakan cap dagangan untuk siasatan lanjut.

“Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM95,100,”katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muhammad Nizam berkata, kes  disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan pihaknya  mengingatkan mana-mana orang yang cuba menjual barangan tiruan akan diambil tindakan tegas.

Tambahnya, pihaknya turut mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan ini.

Menurutnya, pengguna boleh menyalurkan aduan untuk tindakan selanjutnya melalui saluran berkaitan termasuklah WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 serta Pejabat KPDN Kedah 04-7001745

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com