LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan dua bot nelayan pukat jerut di kedudukan lebih kurang 8 batu nautika dari barat Tanjung Belua malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kedua-dua bot itu ditahan ketika sedang menaikkan pukat mereka.
Bot pertama ditahan lebih kurang pukul 12.30 malam bersama 24 kru warganegara Thailand berusia dalam lingkungan 24 hingga 61 tahun. Manakala, bot kedua ditahan 20 minit selepas penahanan bot pertama.
Siasatan awal ke atas bot kedua mendapati, terdapat 21 kru masing-masing warganegara Kemboja dan Thailand berusia dalam lingkungan 19 hingga 55 tahun.
Tangkapan ini merupakan tangkapan pertama oleh Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis di bawah perintah Op Khas Pagar Laut yang telah diaktifkan sempena musim cuti perayaan.
Kru, tekong dan kedua-dua bot itu ditahan bersama ikan campur seberat 500 kilogram dan telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.
Untuk rekod, kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak 15 batu nautika dari pantai.
Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika dari pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen.
Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.