Skuad Bawah 23 tahun (B-23) Malaysia akur tewas tipis 2-1 kepada China pada aksi persahabatan antarabangsa di Qatar pada Khamis.
Perlawanan bagi persiapan akhir menghadapi saingan Piala Asia B-23 menyaksikan China berjaya memperolehi dua sepakan penalti pada minit ke 26 dan 85 dan berjaya disempurnakan Aifeierding Aisikaer dengan baik.
Gol Harimau Muda pula diperolehi menerusi Fergus Tierney pada minit ke 61.
Selepas ini, skuad Juan Torres Garrido ini akan berdepan dua lagi aksi persahabatan menentang lawan yang sama dan juga Qatar sebelum Piala Asia B-23 bermula.
Uzbekistan bakal menjadi lawan pertama skuad negara bagi saingan Piala Asia B-23 pada 17 April sebelum berdepan Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).
Dua pasukan terbaik akan layak ke suku akhir untuk mencari empat pasukan terbaik yang berpeluang layak ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini.
Berdasarkan format kelayakan ke Olimpik, tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 itu akan layak secara automatik manakala satu lagi pasukan terpaksa mengharungi aksi playoff bertemu wakil Afrika, Guinea untuk merebut tiket terakhir ke Paris.