Tuesday, 30, April, 2024
Utama Negeri Serahkan urusan berkaitan KK Mart kepada pihak berkuasa

Serahkan urusan berkaitan KK Mart kepada pihak berkuasa

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP – UMNO Kedah berpendirian isu stoking kalimah Allah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diuruskan berlandaskan undang-undang di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak polis sudahpunmengambil tindakan sewajarnya dan rakyat juga perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya.

“Saya berfikiran bahawa sekarang ini sudah jadi kes polis. Polis sudah ambil tindakan dan ada yang sudah dituduh di mahkamah, jadi kita serahkan urusan yang berkaitan dengan KK Mart ini kepada pihak berkuasa.

“Sebelum ini kita menuntut supaya pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak-pihak tertentu. Sekarang sudah diambil tindakan kepada orang yang buat provokatif dalam media sosial, kemudian juga KK Mart juga sudah dituduh di mahkamah,” katanya semasa ditemui pemberita pada malam Selasa.

Beliau berkata demikian pada Program Iftar Bersama Alumni 4B Padang Terap di sebuah dewan, di sini.

Jelasnya, isu tersebut juga tidak perlu ‘dipolitikkan’ seperti yang boleh dilihat di dalam laman media sosial hari ini

“Saya ingat itu kita serah kepada pihak berkuasa untuk buat apa yang sepatutnya dan saya ingat kita tidak payah banyak sangat politik lah dalam media sosial,” ujarnya lagi.

Pada 26 Mac lalu, Tujuh pihak termasuk KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga pembekal stoking tertera kalimah Allah kepada rangkaian kedai serbaneka itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Selain dua syarikat berkenaan, turut didakwa Pengasas, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57, dan isterinya yang juga pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, selain Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga tiga beranak iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36.

Lima individu berkenaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com