YAN – Seekor ikan lumba-lumba dari spesis yang terancam ditemukan mati terdampar disyaki terkena kipas bot di persisiran Pantai Ruat, Yan, di sini, pada Ahad.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, ikan dianggarkan dengan berat 220 kilogram (kg) itu ditemukan oleh orang awan sebelum menghubungi pihaknya pada jam 5 petang.
Menurutnya, sepasukan enam petugas telah respon dan bergerak ke lokasi ikan lumba-lumba dianggarkan sepanjang 1.8 meter (m) yang terdampar itu.
“Setelah sampai di lokasi kejadian, anggota APM Yan mendapati seekor ikan lumba-lumba telah terdampar di pantai disyaki terkena kipas bot.
“Susulan itu, pihak APM Yan bertindak memaklumkan kepada pihak Jabatan Perikanan Negeri Kedah,”katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, tindakan dilakukan dengan mengalihkan bangkai ikan tersebut ke lokasi lain bagi tindakan seterusnya.
Jelasnya, kes penemuan ikan lumba-lumba terbabit adalah kes pertama diuruskan APM Yan setakat ini.