Tuesday, 30, April, 2024
Utama Sukan Futsal Kedah rancang asah taring di Thailand

Futsal Kedah rancang asah taring di Thailand

oleh Ammar Haziq

Pasukan Futsal Kedah merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab di Thailand sebagai persediaan menghadapi saingan Divisyen 2 Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2024 yang membuka tirai Mei atau Jun ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, persiapan rapi sedang dilakukan oleh pasukan futsal Kedah yang menyasarkan untuk layak ke saingan Divisyen 1 MPFL pada tahun hadapan.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai KFA, seramai 25 pemain baharu termasuk beberapa pemain yang sedia ada telah dipilih daripada 300 pemain selepas disaring oleh pasukan kejurulatihan pada tiga sesi pemilihan sebelum ini.

“Kita mengharapkan pasukan kita akan menjadi pesaing utama dalam saingan divisyen dua ini dan menamatkan di kedudukan yang terbaik dan dapat naik ke divisyen pertama. Pada tahun 2025 kita mahu buka lembaran baharu dan juga melangkah lebih jauh lagi dalam MPFL.

“Saya ada bincang dengan pasukan kejurulatihan dan sedang merancang untuk mengadakan sesi perlawanan persahabatan dengan kelab di Thailand. Selepas itu, kita akan mengadakan sesi latihan persahabatan di kelab-kelab di dalam negara untuk membentuk persefahaman pemain,” katanya.

Jelas Mohd Salleh, terdapat beberapa penaja telah menunjukkan minat untuk pasukan futsal tersebut pada musim ini.

Tidak mendedahkan nama penaja dan jumlah tajaan, beliau berharap kerjasama yang bakal dibentuk akan memberikan semangat kepada semua pemain untuk menghadapi perlawanan Divisyen dua MPFL 2024 yang bakal disertai enam pasukan lagi.

Pasukan Futsal Kedah dibimbing oleh Aidiel Boon Abdullah dan telah memulakan sesi latihan pramusim 2024 secara rasmi pada malam Ahad lalu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com