Saturday, 23, November, 2024
Utama Negeri Pasangan tular bawa anak pakai alat pernafasan bakal nikah Selasa

Pasangan tular bawa anak pakai alat pernafasan bakal nikah Selasa

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH – Urusan pernikahan pasangan yang tular membawa bayi lelaki berusia 11 bulan memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal baru-baru ini kini berada pada fasa terakhir.

Mohd Azlan Ishak, 36, berkata, dia bakal dinikahkan dengan Nor Hidayu Halim, 34, pada Selasa jika semua perkara dapat diselesaikan dan dipersetujui oleh pihak berwajib.

Menurutnya, dia telah ke Masjid Al-Makrufi di Alor Setar pada Ahad dan telah memohon bantuan mengisi borang nikah manakala pada Isnin pula ke klinik untuk buat ujian HIV dan ujian darah.

“Jika semua selesai hari ini , esok saya akan akad nikah dengan pasangan. Pihak masjid cakap jika urusan semua selesai awal, urusan akad nikah dapat disegerakan,” katanya.

Pasangan tersebut sebelum ini tular selepas gambar mereka membawa bayi lelaki memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal baru-baru ini telah tular di laman sosial sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaubagaimanapun timbul kontroversi apabila pasangan berkenaan diarahkan berpisah kerana tiada hubungan perkahwinan.

Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, di sini, Muhammad Hazamer Muslim berkata, pasangan tersebut terpaksa difaraqkan (dipisah) buat sementara waktu dan pihaknya akan cuba membantu untuk melengkapkan dokumen dan proses pernikahan mereka.

Selain anaknya, Mohd. Aariz Zafran, Nor Hidayu juga mempunyai empat lagi anak hasil perkahwinan sebelum ini namun tiga daripadanya tinggal bersama ibunya di kampung berhampiran di sini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com