Saturday, 27, July, 2024
Utama Sukan Penaja utama KDA FC diketahui Julai ini

Penaja utama KDA FC diketahui Julai ini

oleh Ammar Haziq

Pemilik majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan kelab itu kini pada fasa akhir dengan beberapa pihak yang bersedia untuk menjadi penaja utama dan dijangka bakal diumumkan pada awal Julai ini.

Menurutnya, perkara berkenaan dapat dilihat dalam tempoh dua minggu lalu apabila ramai yang hadir mengadakan perbincangan dengan Sang Kenari untuk mengadakan kerjasama.

“Saya sentiasa berhubung dengan mereka, bukan sahaja penaja utama tetapi penaja kedua, ketiga, keempat dan semuanya kerana mereka sangat penting untuk KDA FC. Mereka penting untuk bantu kelab supaya terus stabil dan lestari.

“Saya yakin dalam sekejap masa sahaja lagi kita boleh umum. Sekarang semuanya dalam peringkat akhir, kita mahu umum nama penaja semasa pelancaran jersi yang dijangka awal bulan Julai nanti,” katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu, Mohd Daud mengumumkan tiga syarikat iaitu GTR Burger, SBP Health dan e-Desa antara rakan penaja yang berminat bersama KDA FC pada musim 2024-2025 di pelancaran Program Perekonomian KDA FC di Alor Setar.

Jelas beliau, sehingga kini sebanyak lebih 10 syarikat telah memberikan komitmen untuk Sang Kenari bekerjasama yang boleh memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak.

“Kita harap penyokong dapat membeli produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat ini dimana setiap pembelian itu, kelab akan menerima komisen.

“Setakat ini kita sudah ada lebih 10 penaja dan hari ini, kita umumkan secara rasmi tiga syarikat ini dahulu.

“Sebelum ini kita banyak dapat penajaan secara ‘one-off’ tetapi kali ini kita lebih fokuskan kepada penajaan dan perkongsian komisen” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com