Thursday, 12, December, 2024
Utama Viral Pasangan tular sah suami isteri, harap tiada lagi pandangan serong

Pasangan tular sah suami isteri, harap tiada lagi pandangan serong

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pasangan tular yang selamat dinikahkan di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah pada petang Selasa mengharapkan sokongan dan doa orang ramai agar perkahwinan mereka kekal sehingga ke syurga.

Mohd Azlan Ishak, 36 dan isterinya, Nor Hidayu Halim, 34 mahu membina hidup baharu dan membina keluarga mereka ke arah yang lebih baik.

“Saya telah menjalankan kewajiban saya sebagai orang Islam dan menghalalkan hubungan saya dengan Nor Hidayu.

“Selepas ini kami mahu tutup buku lama dan buka buku baru menjalani kehidupan kami. Allah yang mengerakkan hati orang lain untuk membuat video dan ramai bantu, saya bersyukur,” katanya.

Kedua-dua pasangan tersebut selamat dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim selepas solat Asar dengan sekali lafaz.

Pada Rabu, Kedah Gazette melaporkan Urusan pernikahan pasangan yang tular membawa bayi lelaki berusia 11 bulan memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal baru-baru ini kini berada pada fasa terakhir.

Mohd Azlan Ishak, 36, berkata, dia bakal dinikahkan dengan Nor Hidayu Halim, 34, pada Selasa jika semua perkara dapat diselesaikan dan dipersetujui oleh pihak berwajib.

Menurutnya, dia telah ke Masjid Al-Makrufi di Alor Setar pada Ahad dan telah memohon bantuan mengisi borang nikah manakala pada Isnin pula ke klinik untuk buat ujian HIV dan ujian darah.

“Jika semua selesai hari ini , esok saya akan akad nikah dengan pasangan. Pihak masjid cakap jika urusan semua selesai awal, urusan akad nikah dapat disegerakan,” katanya.

Pasangan tersebut sebelum ini tular selepas gambar mereka membawa bayi lelaki memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal baru-baru ini telah tular di laman sosial sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaubagaimanapun timbul kontroversi apabila pasangan berkenaan diarahkan berpisah kerana tiada hubungan perkahwinan.

Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, di sini, Muhammad Hazamer Muslim berkata, pasangan tersebut terpaksa difaraqkan (dipisah) buat sementara waktu dan pihaknya akan cuba membantu untuk melengkapkan dokumen dan proses pernikahan mereka.

Selain anaknya, Mohd. Aariz Zafran, Nor Hidayu juga mempunyai empat lagi anak hasil perkahwinan sebelum ini namun tiga daripadanya tinggal bersama ibunya di kampung berhampiran di sini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com