SUNGAI PETANI – Seorang penghantar makanan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Persiaran Amanjaya Dua, di sini pada pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa, Muhammad Hasmadi Jamil, 24, maut akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurutnya, dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Taman Seroja menghala ke Jalan Alor Setar-Butterworth.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sampai ditempat kejadian, motosikal mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas dan masuk kelaluan bertentangan.
“Sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu wanita berusia 26 tahun yang sedang bergerak dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal mangsa.
“Akibat daripada pelanggaran itu kedua-dua kenderaan itu terbabas ke bahu sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelas Wan Azharuddin, pemandu Proton Iswara pula mengalami kecederaan patah tangan dan luka di badan serta di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, mayat Muhammad Hasmadi pula di bawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.