Sunday, 14, July, 2024
Utama Negeri Kanak-kanak 10 tahun lemas dalam takungan air longkang UUM

Kanak-kanak 10 tahun lemas dalam takungan air longkang UUM

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Kegembiraan tiga kawan yang memancing di dalam kawasan takungan air laluan longkang utama Perumahan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, di sini berakhir dengan tragedi seorang daripada mereka maut akibat lemas pada Jumaat.

Mangsa, Muhammad Aiman Harith Mohd Hashim, 10, bersama dua lagi rakannya ke lokasi kejadian kira-kira 20 meter dari kawasan perumahan itu.

Menurut, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 4.55 petang berhubung kejadian yang menimpa  murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru, Sintok.

“Mangsa telah ditemui pengawal keselamatan UUM sebelum disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang bertugas di klinik UUM.

“Berdasarkan siasatan, mangsa bersama tiga rakannya memancing di tempat kejadian dan selepas itu, mereka dipercayai mandi di dalam takungan air itu sebelum mangsa ditemui lemas,” katanya pada Sabtu.

Sementara itu bapa mangsa, Mohd Hashim Nazri, 36, semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, berkata, semasa kejadian dia berada di rumah bersama perempuan bongsu, Nurisya Amanda, 5.

Menurutnya, pada waktu itu, isterinya, Siti Noorazar Shamsudin, 30-an pula keluar bekerja di Jabatan Keselamatan UUM pada jam 2 petang.

“Semasa kejadian, berlaku hujan hujan lebat baru berhenti menyebabkan kawasan takungan itu dipenuhi air.

“Tidak lama kemudian saya menerima panggilan daripada isteri yang memberitahu anak kami lemas dan terus bergegas ke lokasi.

Tambah Mohd Hashim, beberapa jam sebelum kejadian, sebelum kejadian arwah anak sulung dari dua beradik itu sempat mengikut ibunya mendaki bukit di kawasan Sintok dan pulang ke rumah sebelum tengah hari.

Katanya, dia berasa tidak sedap hati sebelum kejadian berlaku namun tidak menyangka perkara buruk berlaku sehingga menyebabkan anaknya pergi buat selama-lamanya.

“Namun saya sekeluarga redha dengan apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya lagi, jenazah anaknya akan dikebumikan di kampung di Pida 4 Lama, Jalan Sanglang, Kodiang selepas selesai urusan bedah siasat selesai.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com