Saturday, 23, November, 2024
Utama Sukan BDB Climb Langkawi 2024 kembali semula

BDB Climb Langkawi 2024 kembali semula

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Kejohanan BDB Climb Langkawi 2024 kembali menemui para penggemar aktiviti sukan lasak yang ingin mencabar kemampuan serta kekuatan mental dan fizikal setelah kali terakhir diadakan pada tahun 2017.

Pada kejohanan kali ini lebih 400 orang peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian acara pertama dalam siri BDB Challenge 2024 yang dianjurkan oleh Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB).

Pada penganjuran kali ini, para peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lima kilometer (km) Elite (Lelaki dan Wanita), Senior Elite (Lelaki dan Wanita) & International (Lelaki dan Wanita serta lima km Fun Climb yang mana mereka dilepaskan mengikut masa yang ditetapkan iaitu 7.30 pagi.

Pelepasan para peserta tersebut disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman pada jam 7.30 pagi dimulakan dengan para peserta kategori Elite (Lelaki dan Wanita).

Mengulas tentang kejohanan tersebut, Raja Shahreen menegaskan bahawa kejohanan tersebut merupakan satu daripada inisiatif Kumpulan BDB untuk memperkenalkan semula Darulaman Sanctuary di Lubuk Semilang termasuklah Tangga Helang Seribu Kenangan yang terletak di
Gunung Raya.

“BDB Langkawi Climb 2024 ini juga bertujuan untuk mempromosikan kawasan Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi sebagai salah satu lokasi yang sesuai untuk diadakan kejohanan mahu pun acara Sport Tourism di pulau peranginan berkenaan dan secara tidak langsung dapat ianya dapat menggalakkan industri pelancongan di negeri Kedah amnya.

“Alhamdulillah jumlah penyertaan pada kejohanan kali ini sangat memberangsangkan di mana lebih 400 orang peserta dari dalam dan luar negara turut serta dan ia akan menjadikan BDB Langkawi Climb sebagai salah satu acara utama dalam kalendar bagi para peminat sukan dan aktiviti lasak,” katanya dalam kenyataan di sini.

Untuk rekod, BDB Langkawi Climb 2024 menyaksikan kesemua para peserta untuk mendaki 4,287 anak tangga sehingga ke Puncak Gunung Raya yang sememangnya mencabar kekuatan fizikal dan mental.

Pemenang bagi kategori Elite lelaki yang telah berjaya dirangkul oleh Ku Aliff Aiman Ku Zainol manakala bagi kategori Elite wanita pula dimenangi oleh Krystal Khaw yang mana kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan trofi.

Manakala bagi kategori Senior Elite lelaki dan wanita pula dimenangi oleh Mahayuddin Mangsor dan Maryani Ismail yang mana kesemua mereka memenangi hadiah wang tunai RM500 dan trofi.

Untuk kategori International lelaki dan wanita pula menyaksikan peserta dari Muhammad Sayat Jiyabul Houqe dari Amerika Syarikat dan Ida Latin dari Singapura merangkul kejuaraan dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan trofi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com