Sunday, 14, July, 2024
Utama Negeri Kematian dicemburui, imam meninggal dunia semasa menyampaikan kuliah agama

Kematian dicemburui, imam meninggal dunia semasa menyampaikan kuliah agama

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP – Seorang imam yang sedang memberi kuliah agama tiba-tiba rebah dan meninggal dunia di Masjid Al Falah, Kampung Bukit Nambua, Kuala Nerang, di sini pada malam Rabu.

Semasa kejadian, Allahyarham Ismail Md Taib, 75, sedang menyampaikan kuliah selepas selesai solat Maghrib kepada lebih 40 jemaah pada jam 8.30 malam.

Anak mangsa, Muhammad Faiz Helmi Ismail, 32 berkata, dia turut berada di masjid tersebut semasa arwah bapanya sedang memberikan kuliah agama sebelum tiba-tiba rebah.

“Ketika itu arwah ayah sedang mengajar sebelum suasana tiba-tiba terdiam dan sepi sebaik para jemaah melihat arwah yang duduk di ruang hadapan saf rebah ke kiri.

“Saya bersama ahli jemaah lain terus mendapatkan ayah dan pemeriksaan nadi mendapati arwah sudah tidak bernyawa lalu membawanya ke Hospital Kuala Nerang.

“Doktor yang merawat kemudian mengesahkan ayah telah meninggal dunia,” katanya pada Khamis.

Jelas Muhammad Faiz, bapanya sering mengajar kitab di masjid berkenaan pada setiap malam Rabu.

Menurutnya, sejak berhenti mengajar sekolah agama arwah aktif mengajar kitab di mana-mana sahaja cuma sejak berusia 70-an ini arwah menumpukan perhatian di masjid itu sahaja dan surau berdekatan kerana masalah kesihatan.

Tambahnya, keluarganya reda dengan kematian Allahyarham apatah lagi beliau ‘pergi’ ketika menyampaikan ilmu agama.

“Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Pekuburan Masjid Al Falah jam 11 pagi tadi,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Seperitendan Mulkiaman Manzar mengesahkan menerima laporan kematian.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com