Friday, 18, October, 2024
Utama Sukan FIB siasat serta-merta dakwaan hutang KWSP KL City

FIB siasat serta-merta dakwaan hutang KWSP KL City

oleh Ammar Haziq

Badan bebas, First Instance Body (FIB) akan memulakan siasatan kesahihan dokumen Kuala Lumpur (KL) City FC  yang telah dikemukakan badan tersebut sebelum ini.

Pengerusinya, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, mereka  mengambil maklum berhubung dakwaan Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar yang mempertikaikan mengenai lesen yang diberikan kepada kelabnya sendiri.

Menurutnya, Jawatankuasa FIB telah memberikan Lesen kepada KL City FC bagi musim 2024-2025 selepas melakukan semakan semua dokumentasi yang wajib termasuk kriteria-kriteria kewangan berdasarkan kronologi tersebut:

“FIB telah menerima surat deklarasi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dihantar oleh KL City FC bertarikh 28 Ogos 2023 yang menyatakan tiada tunggakan bayaran setakat 30 Jun 2023 berserta dengan surat lampiran.

“FIB juga telah menerima surat deklarasi daripada KWSP yang dihantar oleh KL City FC bertarikh 29 Mac 2024 yang menyatakan tiada tunggakan bayaran setakat 31 Disember 2023 beserta dengan surat lampiran.

“Jelas di sini, Jawatankuasa FIB telah memberikan lesen kepada KL City FC berdasarkan surat deklarasi pembayaran yang dikeluarkan oleh KWSP sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, walauagaimanapun dengan percanggahan maklumat yang dinyatakan oleh pihak pengurusan kelab itu sendiri berkaitan dengan kesahihan dokumen yang telah dikemukakan kepada FIB maka FIB kini akan memulakan siasatan ke atas perkara ini dengan serta merta.

Terdahulu, media melaporkan Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar mahu melihat sendiri dokumen diberikan KL City FC kepada First Instance Body (FIB) yang memberikan lesen kebangsaan kepada pasukan itu untuk beraksi di Liga Super 2024/25.

Ini kerana Syed Yazid hairan bagaimana pasukan itu yang berdepan isu kewangan agak serius dibenarkan untuk bertanding selepas bukan sahaja berdepan tunggakan gaji malah pasukan itu tidak mencarum KWSP sejak Februari 2023.

Justeru dia mahu meminta penjelasan daripada FIB mengenai isu pelesenan pasukan itu memandangkan tunggakan KWSP pada bulan Februari 2023 itu berlaku ketika saingan liga musim lalu sedang berjalan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com