Kedah Darul Aman (KDA) FC kehilangan salah satu rakan strategiknya apabila GTR Burger mengumumkan menarik diri pada Rabu.
Perkara tersebut disahkan Pemilik GTR Burger, Nordin Mat melalui Facebook rasminya selepas kedua-dua pihak hanya dapat bekerjasama selama tiga bulan sahaja.
“Salam buat semua penyokong KDA FC yg saya hormati. Saya telah menemui Tan Sri Dr Daud Bakar siang tadi dan memaklumkan GTR Burger akan menarik diri sebagai rakan strategik KDA FC mulai hari ini (Rabu).
“Saya juga memohon jutaan ampun dan maaf kepada semua atas segala kesulitan yang berlaku dan mendoakan KDA FC akan terus maju jaya pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, tular hantaran dikongsikan seorang pengguna akaun Facebook yang juga penyokong KDA FC, Danie Kincaid mendakwa kualiti burger yang dijual jenama tersebut didakwa tidak berbaloi dengan harganya.
Kritikan individu tersebut didakwa dilakukan selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2024 pada Jumaat lalu.
Pemilik GTR Burger itu juga dalam hantaran lain juga memohon maaf kepada penyokong kelab tersebut.
“Kepada semua penyokong KDA FC, saya dengan rendah hati memohon maaf atas ketelanjuran kata -kata jika ada yang menyinggung perasaan anda.
“Kami mengambil iktibar dan akan memperbaiki segala kekurangan kami,” ujarnya.