Tuesday, 30, April, 2024
Utama Sukan Surat layang kepada FAM bersifat tohmahan, serangan peribadi

Surat layang kepada FAM bersifat tohmahan, serangan peribadi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan surat layang yang sedang tular di media sosial adalah tohmahan dan menyerang peribadi.

Menurutnya, dakwaan beberapa isu yang dinyatakan oleh penulis surat layang ini adalah dipercayai datang daripada seorang individu atau lebih yang tidak berpuashati dengan kepimpinan FAM ketikan ini.

“Saya ingin nyatakan bahawa segala apa yang dinyatakan oleh penulis surat layang ini adalah bersifat fitnah dan tohmahan semata-mata. Tetapi saya dan EXCO tidak defensif dengan ini (dakwaan) semua, cuma ia lebih kepada serangan peribadi.

“Untuk makluman semua, semua perkara membabitkan kewangan di FAM adalah mengikut Statut FAM serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan iaitu ia perlu menerusi Jawatankuasa Tetap masing-masing, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM.

“Selepas itu, barulah ia dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diluluskan,” katanya pada malam Isnin.

Menurutnya, FAM bersedia untuk disiasat dan satu laporan tentang perkara itu akan dihantar kepada
Jawatankuasa Integriti FAM selaku badan bebas yang dipengerusikan Tan Sri Dr Aseh Che Mat.

Tambah Hamidin, jawatankuasa itu turut dibarisi antaranya wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“FAM sentiasa bersikap terbuka untuk disiasat dan akan memberikan sepenuh kerjasama dalam memberikan maklumat mengenai dakwaan-dakwaan yang dinyatakan dalam surat layang terbabit,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, tular di media sosial ‘surat layang’ dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.

Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com