JITRA – Seorang lelaki maut dan tiga lagi cedera selepas lori jenis Hino yang dinaiki mereka terbabas serta terbalik ke dalam longkang di Kilometer 33.1 susur keluar Lebuhraya Utara Selatan, di sini pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan daripada talian MERS 999 pada jam 6.36 pagi.
“Sepasukan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nazril Ab Rahman bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan itu membabitkan lori yang dipercayai terbabas dan terbalik ke dalam longkang.
“Empat mangsa berada dalam kenderaan itu yang mana seorang daripadanya tersepit manakala tiga lagi termasuk seorang daripadanya warga asing selamat.
“Tindakan operasi adalah dengan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan anggota mengalami kesukaran untuk mengeluarkan semua mangsa disebabkan ruangan sempit dan berair,” katanya dalam satu kenyataan.
Bustan berkata, mangsa yang tersepit berusia sekitar 30-an disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.