Sunday, 24, November, 2024
Utama Negeri Remaja maut, empat rakan melecur terkena renjatan elektrik

Remaja maut, empat rakan melecur terkena renjatan elektrik

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP – Seorang remaja lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik di kawasan sawah, di Kampung Tanjung Putus, dekat sini, pada Rabu.

Dalam kejadian itu, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap, Asisten Superintendan (ASP) Yukhrul Mohd Yusof berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 6.30 petang pada Rabu yang turut menyaksikan empat rakan mangsa turut melecur terkena renjatan elektrik.

Menurutnya, semasa kejadian, mereka ke kawasan berkenaan untuk mengambil umpan pancing tiruan yang tersangkut pada kabel elektrik.

“Seorang daripada rakan mangsa berusia 15 tahun itu naik di atas tempat duduk motosikal dan menggunakan sebatang galah aluminium sebelum cuba mengait umpan tiruan itu.

“Bagaimanapun, mangsa bersama rakan-rakannya yang lain memegang motosikal supaya tidak terjatuh.

“Ketika cuba mengait umpan tiruan itu, secara tiba-tiba mereka berlima terkena renjatan elektrik sehingga menyebabkan mereka pengsan.

“Keempat-empat rakan-rakannya sedar kembali manakala mangsa masih tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Yukhrul berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Nerang oleh penduduk kampung dan setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Manakala empat rakannya masing-masing berusia 15, 16 dan 19 tahun melecur di kaki, badan dan muka sedang meneruma rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com