Saturday, 23, November, 2024
Utama Negeri Program Derma Darah Perdana Majlis Jaksa Pendamai Kedah – Derma Darah, Terima 5 Kilogram Beras

Program Derma Darah Perdana Majlis Jaksa Pendamai Kedah – Derma Darah, Terima 5 Kilogram Beras

oleh admin

ALOR SETAR – Dalam usaha menarik minat orang ramai mengisi bekalan tabung darah di negeri ini, Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah mengambil inisiatif untuk menyumbangkan lima kilogram beras kepada setiap peserta yang menyertai Program Derma Darah Perdana dianjurkan mereka sepanjang bulan ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tan Hong Eng berkata, program dengan kerjasama Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menyasarkan kutipan sebanyak 3,000 beg darah dengan penganjurannya bermula 1 November lalu hingga 30 November depan.

Katanya, penganjuran program berkenaan dianggap penting bagi menangani kekurangan darah yang kritikal memandangkan keperluan bulanan darah bagi Kedah dan Perlis mencecah 5,000 beg sebulan.

“Justeru kami mengambil inisiatif ini bagi menggalakkan lagi orang ramai dari setiap golongan dan peringkat umur untuk menderma darah. Setipa individu yang tampil menderma darah akan menerima lima kilogram beras sebagai tanda penghargaan dari kami di atas kesudian mereka membantu pesakit memerlukan.

“Setakat ini sambutannya cukup menggalakkan dengan kami telah berjaya mengumpulkan lebih 600 beg darah dalam tempoh beberapa hari program ini dijalankan. Program ini akan dilaksanakan di beberapa kawasan tumpuan antaranya pusat membeli belah, kem tentera serta rumah ibadat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Antara lokasi penganjuran program itu termasuklah di Lobi HSAH pada 7 dan 18 November, Amanjaya Mall pada 23 November serta Village Mall pada 16, 24, 29 dan 30 November.

Selain itu, program berkenaan turut dianjurkan di beberapa institusi pengajian tinggi di negeri ini antaranya Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah serta Universiti Aimst di Sungai Petani.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com