Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Enggan jual minyak masak peket subsidi, pasar raya diserbu KPDN

Enggan jual minyak masak peket subsidi, pasar raya diserbu KPDN

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Gara-gara enggan menjual minyak masak peket bersubsidi kepada pelanggan, sebuah pasar raya diserbu sepasukan Penguat Kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)  Cawangan Sungai Petani pada Rabu.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, sepasukan anggotan dengan kekuatan seramai empat orang telah membuat serbuan ke atas sebuah pasaraya yang terletak di Sungai Lalang, di sini pada jam 11.30 pagi.

Menurutnya, tindakan awal dibuat dengan menghantar anggota berpakaian preman bagi membuat uji beli namun ketika  uji beli dilakukan didapati tiada minyak masak polybeg dipamerkan di rak jualan.

“Setelah bertanya kepada pekerja di premis berkenaan berhubung bekalan minyak masak polybeg, anggota tersebut dimaklumkan bahawa minyak masak polybeg di pasaraya telah kehabisan stok.

“Pasukan serbuan kemudiannya telah masuk dan menjalankan pemeriksaan ke atas pasaraya berkenaan dan telah menemui sejumlah minyak masak polybeg yang disimpan di dalam stor pasaraya tersebut.

“Sehubungan itu, KPDN Sungai Petani telah menyita 30 kg minyak masak polybeg bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM75 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Nizam berkata, satu kes telah dihasilkan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya .

Menurutnya, bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“KPDN memberi amaran bahawa tindakan tegas akan di ambil ke atas pihak yang cuba menyembunyikan atau enggan menjual minyak masak polybeg bersubsidi.

“KPDN amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung keengganan mana-mana premis untuk menjual minyak masak polybeg bersubsidi kepada orang awam,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com