BALING – Etiqa, dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM), melancarkan Projek Air Bersih di Kampung Tandop, di sini bagi memberikan nafas lega dan meningkatkan taraf hidup lebih 1,000 penduduk yang kini boleh menikmati akses bekalan air bersih yang stabil dan mudah diakses sepanjang tahun.
Projek komuniti ini merupakan sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Etiqa, Etiqa Cares, di bawah program komuniti Hidup Sihat (Healthy Living).
Ia bertujuan untuk meringankan beban masyarakat setempat yang selama ini menghadapi cabaran mendapatkan bekalan air bersih.
Selama 20 tahun, penduduk Kampung Tandop bergantung kepada sumber air bukit dari sungai kecil di Hutan Simpan Teloi.
Walaupun setiap rumah mempunyai sistem paip dan meter air, bekalan air sering tidak mencukupi, menyebabkan penduduk terpaksa mencari alternatif sendiri dan Etiqa mengambil inisiatif membiayai projek ini untuk menaiktaraf sistem bekalan air komuniti tersebut.
Projek ini memberi manfaat kelestarian Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dengan membina tandak air di kawasan bukit berhampiran kampung, dilengkapi sistem paip sepanjang 3km untuk menakung air sungai sebelum disalurkan melalui Polypipe dari Muka Sauk (Intake) ke Rumah Pam.
Air tersebut kemudian ditapis dan dirawat menggunakan Sistem Penapis Air Membran Sintetik Berskala Tinggi sebelum disimpan dalam dua tangki simpanan berkapasiti 3,000 gelen setiap satu.
Air terawat disalurkan terus ke paip utama untuk kegunaan harian penduduk kampung. Kaedah ini lebih mesra kos dan tidak bergantung kepada tenaga elektrik, menjadikannya lebih mampan dan sesuai untuk komuniti luar bandar seperti Kampung Tandop.
Air terawat ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rumah penduduk, tetapi juga boleh digunakan di masjid, sekolah agama, dan untuk aktiviti pertanian, sekaligus memperbaiki taraf hidup komuniti secara keseluruhan.
Majlis perasmian dan penyerahan projek ini disempurnakan Zafri Ab. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, dan turut dihadiri oleh Zawahir Abdullah, Presiden Islamic Aid Malaysia.
Zafri berkata, sebagai sebuah organisasi yang komited untuk mempertingkatkan taraf hidup masyarakat, Etiqa percaya bahawa akses kepada bekalan air bersih adalah hak asas setiap individu. P
Menurutnya, rojek ini adalah satu langkah penting dalam memastikan keperluan asas penduduk Kampung Tandop dipenuhi, di samping memberi mereka peluang untuk menjalani kehidupan harian dengan lebih baik dan selesa.
“Kami yakin inisiatif seperti ini dapat membantu merapatkan jurang keperluan asas di antara bandar dan kawasan luar bandar.”
“Projek ini juga merupakan manifestasi visi Etiqa, ‘Making the World a Better Place.’ “Di Etiqa, kami melihat setiap projek tanggungjawab sosial sebagai peluang untuk mencipta impak positif yang berpanjangan kepada komuniti.
“Dengan menyediakan kemudahan air bersih yang mampan, kami berharap untuk meninggalkan legasi yang bukan sahaja memenuhi keperluan asas, tetapi juga memperkayakan kehidupan masyarakat luar bandar di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Zawahir pula berkata, sebagai sebuah NGO, IAM memainkan peranan sebagai pengantara di antara individu mahupun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dan kebajikan dalam membantu golongan yang memerlukan.”
“Kami berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Etiqa untuk melaksanakan projek yang amat bermakna dan bermanfaat kepada penduduk di sini.
“Projek ini merupakan bukti keprihatinan Etiqa dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Saya yakin usaha Etiqa memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk di sini,” ujarnya.