Monday, 29, April, 2024
Utama Umum PM – Tandas Sekolah Perlu Dalam Keadaan Bersih Dan Selesa

PM – Tandas Sekolah Perlu Dalam Keadaan Bersih Dan Selesa

oleh admin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat teguran apabila masih banyak tandas di sekolah di seluruh negara berada dalam keadaan rosak sejak puluhan tahun lalu tanpa sebarang tindakan diambil.

Menurut beliau, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, telah diminta supaya memeriksa keadaan tandas di sekolah di seluruh negara bagi memastikan murid mendapat kemudahan yang selesa.

Katanya, malah peranan turut perlu dimainkan guru dimana melatih murid bagi sama-sama menerapkan nilai kebersihan yang selari dalam Malaysia Madani yang mementingkan kebersihan.

“Saya arahkan Menteri Pendidikan semak, dan dapati bahawa tandas di sekolah banyak yang rosak, berpuluh-tahun tidak ada siapa yang peduli.

“Sekarang saya kata bagaimana hantar anak kita ke sekolah tapi tandas pun tidak ada. Anak kita manusia bukan dewa yang tidak pergi ke tandas.

“Anak-anak mesti dilatih untuk bersihkan tandas, ia mengajar mengenai kebersihan, hormat orang termasuk yang cuci tandas. Muliakan nilai manusia yang bagi sumbangan,” katanya selepas merasmikan D’Anjung Selera Madani, Jalan Jujur, di sini hari ini.

Pada masa sama, Anwar juga mengimbau kenangan beliau ketika memikul tugas sebagai Menteri Pendidikan yang pada masa itu beliau mengarahkan pihak sekolah melakukan sistem penggiliran bagi membersihkan tandas.

Beliau berkata, ketika itu adanya ibu bapa daripada golongan profesional dan atasan menghubunginya bagi membantah tindakan terbabit.

“Ada ibu bapa kelas atasan memaklum kepada saya berkata, saya hantar anak saya belajar bukan untuk cuci tandas.

“Jadi saya bagitahu kalau anak kita dilatih untuk cuci tandas dia tahu bagaimana ibu dia buat kerja di rumah. Dia akan hargai tukang cuci di jalanan di tandas awam bahawa ada nilai kerja.

“Ia melatih perubahan sikap, kadang-kadang orang kelas atasan ini tidak ada langsung untuk rasa prihatin dan ehsan kepada golongan bawah,” ujarnya.

Beliau berkata, antara sebab kerajaan pimpinannya tekad menangani rasuah adalah berikutan wang yang diselamatkan itu juga boleh digunakan untuk membaiki jalan, lokasi perniagaan penjaja, sekolah dan tandas di institusi pendidikan itu.

Untuk rekod, Anwar menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986 hingga 1991 ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com