POKOK SENA – Dua pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Langkawi, Mohamad Khairul Hakim, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, meninggal dunia akibat lemas di Sungai Jahang, dekat Gopeng, Perak pada Jumaat mahu ke majlis perkahwinan bekas Ketua Jabatan mereka di negeri itu.
Pengarah JKR Kedah, Ir Mohd Fisal Ismail, berkata, mereka berdua bertolak pada pagi Khamis dengan menaiki motosikal bersama lima lagi rakan dari JKR Langkawi untuk bermalam di kawasan tersebut.
Menurutnya, seluruh kakitangan JKR Kedah terkejut sebaik menerima laporan berkenaan kejadian yang menimpa kedua-dua mangsa itu dan ramai menghadiri majlis pengebumian kedua-dua arwah di Jitra dan Pokok Sena, di sini.
“Sebaik tiba, mereka bertemu dengan kakitangan JKR Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang sedang melakukan aktiviti ‘team building’ ‘water rafting’ di Sungai Jahang.
Namun, saya terkejut apabila mendapat tahu mereka terlibat dalam kemalangan bot terbalik dan lemas dibawa arus,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, pada Sabtu.
Mohd Fisal berkata kali terakhir dia bertemu dengan arwah Mohamad Khairul adalah tiga minggu lalu dalam satu program.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada JKR Perak dan Pulau Pinang yang menguruskan membawa kedua-dua jenazah ke Kedah.
“JKR Kedah akan menyalurkan sumbangan ‘one-off’ kepada keluarga mangsa, selain bantuan lain termasuk menguruskan pemindahan ahli keluarga dari Langkawi ke sini,” katanya lagi.
Arwah Muhammad Ikram yang tiba di rumahnya pada jam 8 pagi di Jitra dari Perak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Melele, Padang Sera, Kodiang.
Manakala arwah Mohammad Khairul pula selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Pokok Sena.