KUALA KEDAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris mengakui beliau menangis apabila melawat rumah seorang ibu tunggal di Tanjung Besar di sini petang semalam.
Menurutnya, rumah ibu tunggal itu, Siti Aishah Ramli yang menjadi bualan di media sosial sebelum ini sudah uzur dan keadaan lebih teruk selepas ditimpa ribut kali kedua baru-baru ini.
Katanya, Siti Aishah tinggal di rumah itu bersama anak-anaknya dan beberapa cucu.
“Berlenang juga air mata melihat Kak Aishah, walau bagaimanapun beliau tetap menguntumkan senyum,” katanya dalam ciapan di Facebooknya semalam.
Asmirul Anuar berkata, beliau telahmenghubungi rakan-rakan serta NGO memaklumkan perkara ini dan akan berbincang dengan beberapa agensi kerajaan terutamanya bagi cadangan membina rumah baharu untuk mereka.
“Pihak JKM, penghulu dan beberapa agensi juga sudah mengambil maklumat bagi hulurkan bantuan awal, sedikit pemberian tidak seberapa berupa barangan dapur dan sumbangan peribadi kepada keluarga kakak Aisyah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Aishah di talian 017-993 4025 manakala nombor akaun Bank Islam miliknya pula 0210 5020 0020 63. – KG