Wednesday, 5, February, 2025
Utama Nasional Tuduhan PM derhaka Raja satu fitnah jahat- BBC

Tuduhan PM derhaka Raja satu fitnah jahat- BBC

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR:Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Madani menegaskan bahawa tuduhan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam yang mendakwa Perdana Menteri menderhaka terhadap institusi diraja adalah satu fitnah jahat dan tidak berasas.

BBC dalam kenyataan hari ini berkata tuduhan itu juga adalah tidak benar dan hanya bertujuan menghasut rakyat.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah mengesahkan kewujudan titah Tuanku Sultan Pahang berkaitan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya dan menegaskan bahawa urusan berkaitan titah addendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri, fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tuduhan ini adalah taktik lama pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri.

Katanya ia adalah satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, berhubung dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini kerana kononnya berlaku penderhakaan juga adalah tidak berasas.

Menurut BBC, keputusan pelabur bergantung kepada kestabilan ekonomi, polisi mesra pelabur, dan keyakinan terhadap kepimpinan negara, bukannya fitnah politik yang tidak berlandaskan realiti.

“Fitnah sebegini bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata,” katanya.

Sementara itu, BBC berkata, sepanjang pentadbiran, Perdana Menteri sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap institusi diraja dan berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan.

Katanya, segala tindakan kerajaan sentiasa selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara.

“Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa tuduhan Ketua Pembangkang adalah tidak benar dan hanya bertujuan menghasut rakyat.

“Rakyat perlu menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara,” katanya.
Ends

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com