Friday, 21, February, 2025
Utama Negeri Pesawah akur, terus tuai padi selepas tangguh minggu lalu

Pesawah akur, terus tuai padi selepas tangguh minggu lalu

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR- Pesawah di negeri ini akur dengan penyelarasan harga padi sebanyak RM1, 500 per tan seperti yang diumumkan kerajaan hari ini.

Sebaik sahaja dimaklumkan harga lantai padi diselaraskan kepada RM1,500 per tan, pesawah di beberapa kawasan di sini terus menuai padi selepas hampir seminggu menangguhkan aktiviti berkenaan.

Ridzuan Ahmad, 27, berkata dia tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi penyelarasan melebihi harga lantai RM1,300 per tan sebelum ini.

“Selepas dapat tahu harga lantai naik sedikit, saya terus buat keputusan untuk tuai padi, sekarang saya sudah ada di atas jentera untuk tuai padi.

“Saya rasa mampu untuk siapkan proses tuai di petak sawah yang saya usahakan sebanyak empat hektar, pesawah lain pun turut minta saya masuk mesin (tuai) ke sawah mereka hari ini,”katanya yang mengusahakan sawah di Jitra.

Terdahulu, kerajaan bersetuju menyelaraskan harga belian lantai padi kepada RM1,500 setiap tan metrik berbanding RM1,300 berkuat kuasa Ahad ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengumumkan, kerajaan akan mengekalkan Beras Putih Tempatan pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.

Katanya, penetapan harga berkenaan mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya memberi kesan kepada harga beras di pasaran.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com