Wednesday, 12, March, 2025
Utama Nasional Taklimat harian PMO: usaha perkukuh ketelusan, tangkis maklumat palsu

Taklimat harian PMO: usaha perkukuh ketelusan, tangkis maklumat palsu

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR– Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelaksanaan taklimat harian secara langsung sebagai langkah memperkukuh komunikasi kerajaan dengan rakyat.

Inisiatif ini bertujuan memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan sahih, sekali gus menangkis penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, taklimat ini akan disiarkan setiap hari pada jam 11 pagi dan 5 petang menerusi laman Facebook rasmi Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia.

Menurutnya, ia akan membincangkan perkembangan semasa, dasar utama kerajaan, serta isu-isu yang menjadi perhatian rakyat.

“Taklimat ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk memastikan rakyat menerima maklumat secara terus daripada sumber rasmi. Ini juga sebahagian daripada usaha menangani penyebaran fitnah serta berita tidak berasas yang boleh menjejaskan kestabilan negara,” katanya.

Jelas beliau, langkah PMO menggunakan platform digital untuk menyampaikan maklumat mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan ketelusan dan keterbukaan.

Dengan siaran langsung, rakyat boleh mengikuti perkembangan kerajaan dalam masa nyata serta mengajukan pertanyaan mengenai isu-isu yang dibangkitkan.

Pendekatan ini juga sejajar dengan keperluan semasa, di mana media sosial menjadi sumber utama informasi bagi kebanyakan rakyat. Dengan adanya taklimat harian, kerajaan dapat mengawal naratif serta memperjelaskan dasar-dasar yang mungkin disalah tafsir oleh pihak tertentu.

Selain inisiatif taklimat harian, Perdana Menteri turut dijadualkan mengunjungi pelbagai kementerian sepanjang bulan Ramadan bagi menyantuni penjawat awam dan menyampaikan tazkirah bersama penceramah jemputan.

Program ini bertujuan membentuk budaya kerja yang berteraskan nilai-nilai kejujuran, disiplin, dan tanggungjawab.

“Melalui program ini, kita mahu memperkukuh etika dan akhlak dalam pentadbiran negara. Kejujuran dan disiplin adalah asas kepada perkhidmatan awam yang berintegriti, selaras dengan teras Kesejahteraan dalam gagasan MADANI,” ujarnya.

Pendekatan ini bukan sahaja menekankan aspek ibadah dalam bulan Ramadan tetapi juga membentuk karakter penjawat awam yang lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka.

Pelaksanaan taklimat harian oleh PMO serta program Ramadan di kementerian menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan ketelusan, meningkatkan integriti penjawat awam, dan memperkukuh nilai dalam pentadbiran.

Pejabat Perdana Menteri turut mengajak rakyat untuk menyokong inisiatif ini demi kemajuan negara yang lebih sejahtera dan berdaya maju.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com