Monday, 25, November, 2024
Utama Negeri Ibu tunggal hilang sebelah kaki akibat kemalangan, keluarga putus mata pencarian

Ibu tunggal hilang sebelah kaki akibat kemalangan, keluarga putus mata pencarian

oleh Ammar Haziq
Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB), Rukiza Abu Bakar (kiri) hadir menyampaikan sumbangan kepada Siti Fatimah di Kampung Banggol Dogol, Padang Kiri, Kuala Nerang.

PADANG TERAP – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.


Seorang ibu tunggal di Kampung Banggol Dogol, Padang Kiri di sini tidak mampu lagi keluar untuk mencari rezeki selepas kaki kirinya dipotong akibat kemalangan pada 7 April lalu.


Siti Fatimah Azizan,34 yang sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.


Siti Fatimah kini tidak lagi mampu keluar untuk bekerja selepas hilang sebelah kakinya akibat kemalangan pada 7 April lalu.

Dia kini terpaksa bergantung kepada dua anaknya berusia 12 dan 10 tahun bagi urusan mengemas rumah termasuk memasak.


“Saya tidak tahu macam mana nak cakap. Kakak saya pula baru sahaja meninggal dunia sebulan yang lalu akibat kanser dan anaknya berusia 12 tahun dijaga oleh saya.


“Bapa (Azizan Bakar,77 ) adalah orang kurang upaya (OKU), Ibu (Sofiah Ahmad,70) pula menghidap darah tinggi dan dia tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat. Hasil dari gaji saya sebanyak lebih kurang RM1,000 sebulan bekerja sebagai tukang cuci sejak dua tahun lalu digunakan untuk menampung kehidupan keluarga kami,”katanya.

Siti Fatimah, 34.


Dalam kejadian 7 April lalu, Siti Fatimah yang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk membersihkan pejabat namun dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda.


Kejadian yang berlaku di  Jalan  Padang Sanai- Kuala Nerang kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan kaki kirinya hancur dan terpaksa dipotong sehingga ke paras paha.


Menurut Siti Fatimah, dia kini memikirkan nasib dua anaknya kerana sebelum ini dia yang menghantar dan menjemput mereka balik dari sekolah selepas tamat sesi pembelajaran.


“Sebelum ini sayalah juga yang membawa ibu saya ke hospital, selepas ini saya tak tahu nak minta tolong siapa, mungkin sebaik sahaja mereka ke sekolah menengah, saya akan mohon sekolah untuk tempatkan mereka di asrama.


“Saya sekarang sudah tak mampu buat apa, saya terpaksa pakai lampin buang, lengan kiri dan  jari kelinking kiri saya turut patah, saya hilang upaya untuk mencari nafkah menyara keluarga,”katanya.


Tambahnya, persiapan mereka sekeluarga juga cukup sederhana pada Ramadan kali ini selain mengharapkan sumbangan orang ramai serta bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).  

Bagi orang ramai yang ingin membantu ataupun menyalurkan bantuan, boleh menghubungi Siti Fatimah menerusi nombor telefon 010-3105986.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com