Thursday, 2, May, 2024
Utama Umum Mukhriz bakal hilang jawatan sebagai Pengerusi MADA, KEDA

Mukhriz bakal hilang jawatan sebagai Pengerusi MADA, KEDA

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR : Gelombang pertukaran Pengerusi agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak mengambil alih kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) sejak Mac lalu.

Perkembangan tersebut memberi isyarat jelas akan berlaku juga pertukaran Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Pengerusi kedua-dua agensi berkenaan itu sekarang dipegang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz Mahathir

Masa dilihat hampir tiba bagi kerajaan Persekutuan melakukan rombakan dengan melantik orang baru yang mesra kerajaan PN dan mempunyai inspirasi yang sama dengan kerajaan Pusat.

Adalah penting peneraju dua agensi berkenaan, yang mendampingi masyarakat luar bandar, mempunyai pegangan politik yang sama dengan kerajaan pusat supaya tindakan, keputusan tidak bercanggah dengan dasar kerajaan persekutuan.

Kakitangan agensi itu juga selesa bekerja apabila dasar agensi selari dengan kerajaan.

Kuasa lantikan pengerusi dua agensi itu terletak kepada Menteri. MADA adalah agensi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sementara KEDA di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.


Walaupun secara amalan Menteri Besar Kedah adalah juga menduduki kerusi berkenaan tetapi pernah berlaku sebaliknya.

Semasa pemerintahan Pas di Kedah pada 2008 hingga 2013, Pengerusi KEDA adalah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (ADUN Bakar Bata) sementara Pengerusi MADA adalah Datuk Seri Mahdzir Khalid (Ahli Parlimen Padang Terap).

Selepas Barisan Nasional (BN) menang di Kedah pada pilihan raya umum 2013 dan Mukhriz dilantik Menteri Besar, beliau tidak menjadi Pengerusi MADA sebaliknya jawatan berkenaan dipegang Datuk Othman Aziz (Ahli Parlimen Jerlun).

Kemudiannya, apabila berlaku perubahan jawatan Menteri Besar Kedah pada Februari 2016, dengan Ahmad Bashah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-12, kedudukan Othman kekal jawatannya.

Mukhriz mempunyai aliran politik yang bertentangan dengan kepimpinan politik PN selepas parti Bersatu berpecah kepada dua kem sejak ‘langkah Sheraton’ Februari lepas.

Kawasan MADA mempunyai keluasan 130,282 hektar dan daripada keluasan tersebut, kawasan pasel padi adalah seluas 100,685 hektar.

Keluasan pasel padi itu merangkumi dua buah negeri iaitu Negeri Kedah (82,968 hektar) dan Negeri Perlis (17,717 hektar). 

Sementara itu, KEDA yang berfungsi
menggalak, membantu, memaju dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial di negeri Kedah.

Keluasan KEDA meliputi 8,297 kilometer persegi iaitu 89% daripada keseluruhan negeri Kedah. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com