Thursday, 8, May, 2025
Utama Negeri Ride to Tibet promosi Kedah, Malaysia di pentas antarabangsa

Ride to Tibet promosi Kedah, Malaysia di pentas antarabangsa

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Konvoi motosikal berkuasa tinggi ‘Ride To Tibet’ menjadi antara inisiatif penting dalam mempromosikan Malaysia, khususnya Kedah , sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 .

Ketua Konvoi, Tan Shung Shan, berkata perjalanan sejauh 14,000 kilometer yang merentasi Thailand, Laos, dan Tibet, China , bukan sekadar ekspedisi kembara tetapi turut membawa misi memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa .

“Kami bukan sahaja menikmati keindahan tempat-tempat menarik di luar negara, tetapi turut menjalankan tanggungjawab mempromosikan Malaysia.

“Kami membawa risalah pelancongan (flyers) dan akan mengedarkannya di lokasi-lokasi strategik sepanjang perjalanan bagi memperkenalkan tempat menarik yang boleh dikunjungi sempena TMM 2026 ,” katanya.

Konvoi yang melibatkan 40 motosikal berkuasa tinggi dan 8 kenderaan pacuan empat roda dalam tempoh 40 hari itu dilepaskan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya , sebagai tanda sokongan terhadap usaha memartabatkan pelancongan negeri Kedah.

Menurut Abdul Gafar, program ini mengukuhkan reputasi Kedah sebagai destinasi pelancongan, terutama dengan tarikan seperti Pulau Langkawi yang terkenal di peringkat global.

“Konvoi ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi ia menjadi salah satu langkah penting dalam menarik perhatian pelancong luar terhadap keunikan dan keindahan Kedah,” katanya.

Tan Shung Shan turut menegaskan bahawa selain Kedah , program ini bertujuan mempromosikan Malaysia secara menyeluruh , menampilkan keindahan alam semula jadi, budaya, dan warisan negara .

“Kami ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia memiliki destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dan patut menjadi pilihan utama pelancong global,” jelasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com