Saturday, 17, May, 2025
Utama Negeri Nelayan maut disambar petir semasa pulang memukat Udang

Nelayan maut disambar petir semasa pulang memukat Udang

oleh Ammar Haziq

KANGAR – Seorang nelayan maut selepas disambar petir ketika berada di atas bot dalam perjalanan pulang ke jeti selepas memukat udang di perairan Kuala Sungai Padang, Simpang Empat, malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, mangsa, Muhamad Faiez Othman, 28, bersama seorang awak-awak sedang menuju ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang ketika hujan lebat dan ribut petir melanda kawasan laut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, awak-awak yang turut berada dalam bot berkenaan melihat kilat menyambar berhampiran mereka sebelum mangsa tiba-tiba rebah dalam keadaan terlentang.

“Awak-awak terbabit segera mematikan enjin bot dan meminta bantuan daripada nelayan lain yang berada berdekatan serta menghubungi abang mangsa yang berada di daratan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mangsa kemudian dibawa ke jeti sebelum dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Bagaimanapun, Muhamad Faiez disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.

“Pemeriksaan awal ke atas mayat mendapati terdapat pendarahan di telinga kiri serta kesan melecur pada paha kanan mangsa,” ujar Baeyah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com