PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan guru sebagai wira luar biasa yang menjadi nadi kepada kemajuan negara.
Sempena sambutan Hari Guru, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam membentuk insan serta mencorak masa depan negara.
Beliau menegaskan, tiada satu pun pencapaian besar dalam kehidupan yang tidak bermula dari ruang sebuah bilik darjah iaitu tempat di mana insan bernama guru menyemai benih ilmu, nilai dan harapan, sama ada seseorang itu menjadi pemimpin, doktor, jurutera, petani atau Perdana Menteri, semuanya bermula daripada tunjuk ajar guru.
“Guru adalah insan mulia yang tidak pernah meminta untuk dipuja, tetapi setiap hari menghembus kesabaran dalam mengukir masa depan anak bangsa dengan penuh kasih sayang,” ujar Perdana Menteri dalam hantaran di akaun media sosial beliau, hari ini.
Menurutnya, setiap guru merupakan satria sabar yang membentuk akhlak, serta pejuang nilai dan sahsiah generasi.
Beliau turut menegaskan, tugas pendidik tidak terhenti pada tamatnya sesi persekolahan, sebaliknya merupakan amanah berterusan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Dalam sebuah video sambutan Hari Guru yang turut disertai ikon animasi tempatan, Ejen Ali dan rakan-rakannya, Perdana Menteri menyampaikan mesej istimewa kepada para guru dengan penuh rasa hormat dan semangat kebersamaan.
“Hari ini kita berkumpul untuk meraikan wira luar biasa iaitu guru-guru kita yang tidak pernah jemu berjuang di medan ilmu demi memastikan misi pendidikan negara tercapai. Semangat mereka sentiasa tinggi, menjadi tunjang utama pembangunan negara,” katanya lagi.
Tambah beliau, generasi muda seperti Ejen Ali turut menghargai jasa para guru yang sabar mengajar, membimbing dan mendidik demi melahirkan generasi MADANI yang berilmu dan berakhlak.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar usaha menyemai ilmu dan membentuk insan diteruskan dengan penuh ketulusan dan tekad.
“Kami semua menjadi saksi betapa besarnya jasa guru. Anda adalah wira sebenar negara,” ujarnya.