Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional IKM Alor Setar terima Anugerah Khas Juri, Pendidikan (Penyedia Latihan)

IKM Alor Setar terima Anugerah Khas Juri, Pendidikan (Penyedia Latihan)

oleh Ammar Haziq
Abdul Halim (tiga kanan) menerima anugerah yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof pada Majlis Malam Apresiasi MTIB (50 Tahun Teguh Seiring Usia).

KUALA LUMPUR – Institut Kemahiran MARA (IKM) Alor Setar melalui program Diploma Teknousahawan Rekebentuk dan Pengeluaran Perabot telah dianugerahkan Anugerah Khas Juri, Pendidikan (Penyedia Latihan) Sempena Sambutan Jubli Emas MTIB, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.


Majlis penyampaian sijil dan trofi disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof pada Majlis Malam Apresiasi MTIB (50 Tahun Teguh Seiring Usia) di Dewan Perdana Felda, dekat sini.


Pengiktirafan ini merupakan kemuncak kejayaan hasil kesungguhan dan komitmen tenaga pengajar melahirkan usahawan muda yang berjaya khususnya dalam bidang perabot.


IKM Alor Setar merupakan institusi Pendidikan dan Latihan TVET MARA , dan IKM kedua tertua di Malaysia dan mula beroperasi pada tahun 1968.


Sejak tahun 2016, IKM Alor Setar melaksanakan sepenuhnya program teknousahawan dan menawarkan dua program pengajian iaitu Diploma Teknousahawan Rekabentuk & Pengeluaran Perabot dan Diploma Teknousahawan Rekabentuk & Pengeluaran Fabrik.


Sehingga kini, seramai 89 orang usahawan daripada program Diploma Teknousahawan Rekebentuk dan Pengeluaran Perabot dan 75 orang usahawan daripada Diploma Teknousahawan dan Rekebentuk Fabrik telah berjaya dilahirkan sejak tahun 2016. Pada masa ini, pelajar/usahawan semasa adalah seramai 78 orang bagi kedua-dua program.

IKM Alor Setar melalui Program Diploma Teknousahawan Rekebentuk dan Pengeluaran Perabot juga turut menubuhkan jenama KBNET sebagai wadah rangkaian teknousahawan bidang perabot di IKM Alor Setar bagi memantapkan lagi jaringan usahasama dalam bidang perabot bumiputera sehingga ke peringkat antarabangsa.


Pusat kemahiran ini juga telah berjaya melahirkan ramai usahawan muda khususnya di dalam bidang perabot melalui pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) baru seperti Teaching Factory, Technopreneur Based Education dan Flexible Education.


Transformasi keusahawanan ini telah disokong oleh ekosistem keusahawanan MARA yang lengkap serta sokongan berterusan dan kepakaran daripada pihak Lembaga Perkayuan Kayu Malaysia (MTIB), Malaysian Timber Council (MTC), dan lain-lain.


Dalam lima tahun akan datang, IKM Alor Setar mensasarkan untuk melahirkan dan memantapkan 167 orang usahawan KBNET seiring dengan hasrat Malaysia untuk melahirkan modal insan TVET dalam bidang keusahawanan.


Majlis turut dihadiri oleh Pengarah IKM Alor Setar, Abdul Halim Mohammad dan Ketua Program Diploma Teknousahawan Rekebentuk dan Pengeluaran Perabot, Huzaireen Hassan Asri.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com