LANGKAWI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui jarang turun ke cabang-cabang parti berkenaan selepas menjawat jawatan Perdana Menteri hampir tiga tahun yang lalu.
Sehubungan itu, beliau yang juga Perdana Menteri menyatakan situasi itu akan diperbaiki dan ditambahbaik terutamanya menjelang Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.
Tambahnya, kekuatan dan kebersamaan di peringkat cabang parti berkenaan harus diperkukuhkan terutama pasca pemilihan parti khusus dalam menjuarai isu-isu yang dibangkitkan di peringkat akar umbi.
“Cabang dan jentera cabang ini dalam sistem politik Keadilan ini, cabang merupakan jentera terpenting, betul di peringkat pusat kita menentukan dasar tetapi jentera, akar umbi (inilah) yang memahami masalah rakyat,
“(Isu melibatkan) pekerjanya, nelayan, pekebun, itu di peringkat akar umbi, apa yang mereka lihat santuni rakyat, kemukakan masalah rakyat, itu yang akan menentukan kita parti yang boleh menyuarakan concern atau aspirasi rakyat terbanyak,” Katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat PKR Langkawi di Kuah, pada Isnin.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru kesemua ahli parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus memperkukuhkan kerjasama demi kestabilan politik negara.
“Ada orang kata (sebelum ini ada parti dalam Kerajaan Perpaduan) ada perseteruan panjang dan lama, tetapi kita kena ingat yang penting matlamat kita, iaitu keamanan, dan sistem politik yang kukuh,
“Kalau sistem politik tidak kukuh, bagaimana (kuat dan hebat) jentera kita (miliki) ataupun sistem dasar ekonomi (ia) kita, tidak akan menarik pelaburan asing dan keyakinan orang ramai,” katanya.