KUALA LUMPUR – Akaun media sosial milik seorang pempengaruh dikenali sebagai CEO Batu diserbu netizen selepas tular dakwaan berunsur gangguan seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Dakwaan tersebut mula mendapat perhatian ramai selepas penyanyi dan pempengaruh, Caprice memuat naik beberapa hantaran di Instagram miliknya, yang mendakwa ibu kepada remaja berkenaan menghubunginya bagi mendapatkan bantuan.
Menerusi tangkap layar mesej yang dikongsikan Caprice, CEO Batu didakwa menghantar mesej berbaur lucah termasuk gambar tidak senonoh kepada remaja tersebut dengan alasan untuk menunjukkan parut pembedahan.
Tidak cukup dengan itu, individu terbabit turut menghantar mesej permohonan maaf kepada ibu mangsa dan menyatakan hasrat untuk berjumpa bagi menyelesaikan perkara tersebut secara peribadi.
CEO Batu juga didakwa mengaku kesilapannya dan menjelaskan bahawa gambar tersebut tidak sempat diubah suai atau ‘crop’ sebelum dihantar, menyebabkan ia menampakkan bahagian tubuh yang tidak sepatutnya.
Tindakan itu nyata mengundang kemarahan warganet yang mula membanjiri ruangan komen akaun media sosial miliknya dengan kritikan serta kecaman, termasuk menuntut tindakan tegas diambil.
Hasil semakan Kedah Gazette di akaun Instagram CEO Batu mendapati pelbagai komen berbentuk sindiran serta desakan agar individu terbabit tampil memberikan penjelasan, selain menyerahkan diri kepada pihak berkuasa sekiranya dakwaan itu benar.
Bagaimanapun, usaha media untuk mendapatkan maklum balas daripada CEO Batu setakat ini masih belum berjaya, manakala pihak berkuasa juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan insiden tersebut.
Sementara itu, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dijalankan secara menyeluruh, dan pada masa sama menghormati privasi serta emosi mangsa dan keluarganya.